Sahabat pena merujuk kepada kawan yang saling mengenal dan berhubung menerusi surat-menyurat. -Gambar hiasan AI
DEMI sebuah kenangan manis zaman persekolahan, seorang lelaki sanggup mengembara sejauh 3,000 kilometer ke Inner Mongolia semata-mata mahu menjejaki sahabat pena yang dikenalinya 24 tahun lalu.Kisah bermula apabila lelaki berusia 40 tahun itu mengenali seorang gadis yang menggunakan nama samaran Ice Rain menerusi satu aplikasi sembang ketika masing-masing di bangku sekolah menengah pada 2002. Ketika itu, dia menghantar surat kepada gadis tersebut bagi menceritakan keindahan negaranya, manakala Ice Rain membalas dengan gambaran indah kehidupan di padang rumput Inner Mongolia.Namun, hubungan mereka terputus selepas masing-masing melanjutkan pelajaran ke peringkat sekolah menengah atas.Lelaki berkenaan, Li Zhicong, yang berasal dari wilayah autonomi Guangxi Zhuang dan kini bekerja di Shenzhen, Guangdong, bagaimanapun tidak pernah melupakan memori itu.Pada 2023, kenangan lamanya bersama Ice Rain kembali berputik apabila Li melintasi kawasan Inner Mongolia sewaktu melakukan pengembaraan merentas China.Terpanggil dengan kenangan silam, dia akhirnya kembali ke kawasan itu bersama ibu bapanya pada Jun lalu sebelum meneruskan misi khas ke Arun Banner demi mencari Ice Rain.Berdasarkan maklumat dalam surat lama, Li akhirnya berjaya menjejaki bekas guru sekolah menengah Ice Rain, yang memberitahu bahawa gadis berkenaan merupakan seorang yang peramah dan banyak bercakap.Kisah pengembaraan Li yang dikongsikan di media sosial mendapat sambutan hangat apabila meraih lebih 62,000 tanda suka dan 7,000 komen, sekali gus mencetuskan nostalgia dalam kalangan netizen yang pernah mempunyai sahabat pena.Li bagaimanapun menegaskan pencariannya bukan untuk mengganggu kehidupan sahabat lamanya itu, sebaliknya sekadar mahu mengenang memori zaman remaja.“Dia adalah sahabat paling jauh yang saya kenali ketika itu. Saya mahu menghargai kenangan indah zaman muda,” katanya. -Agensi