SEORANG wanita memfailkan saman terhadap Singapore Airlines (SIA) selepas mendakwa tertelan serpihan lidi sate ketika menikmati hidangan dalam penerbangan kelas perniagaan dari Singapura ke Los Angeles pada 28 Julai 2024.Menurut laporan, Briohny Smyth, 44, mengalami kesakitan serta tercekik apabila serpihan kayu daripada lidi sate ayam tersangkut di kerongkongnya ketika menjamu hidangan yang disediakan. Dokumen mahkamah mendakwa wanita itu berjaya memuntahkan keluar serpihan kayu sepanjang kira-kira 3.8 sentimeter selepas melalui detik yang sukar, namun insiden tersebut menyebabkan kecederaan pada tekak, gangguan pernafasan dan batuk berterusan.Dia memfailkan saman di Mahkamah Persekutuan Los Angeles pada 24 Julai lalu.Smyth turut mendakwa mengalami ketidakselesaan pada tekak, suara menjadi serak, cepat letih ketika bercakap dan sakit apabila menggunakan suaranya dalam tempoh yang lama.Pemeriksaan oleh pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) dilaporkan menemui kesan parut serta trauma pada pita suaranya.Susulan itu, wanita berkenaan menuntut ganti rugi meliputi kos rawatan perubatan, kehilangan pendapatan, keupayaan menjana pendapatan pada masa depan serta tekanan emosi.Difahamkan, Smyth merupakan seorang guru yoga, penyanyi, penceramah dan pendidik kesejahteraan di Los Angeles yang bergantung kepada keadaan suaranya untuk bekerja.Dia juga pernah dikenali sebagai penyanyi kanak-kanak popular di Thailand selepas menghasilkan album platinum ketika berusia 13 tahun.-Agensi