SEORANG lelaki menafikan dakwaan seorang wanita yang menuduhnya mengekori dan cuba merakam bahagian bawah skirt ketika berada di sebuah pusat beli-belah.Sebaliknya, lelaki terbabit mendakwa dia hanya berjalan di sekitar premis berkenaan kerana sedang bermain permainan mudah alih Pokémon GO. Ia susulan seorang wanita berusia 27 tahun menerusi Facebook pada Selasa memberi peringatan kepada pengunjung lain agar tidak menjadi mangsa, namun dia tidak membuat laporan polis kerana mendakwa tiada bukti kukuh.Wanita itu berkata, dia mengunjungi pusat beli-belah di daerah Bang Khae di Bangkok, Thailand bersama ibunya. Ketika membeli-belah secara berasingan, dia mula berasa curiga selepas mendapati lelaki sama sering mengikutinya di dalam sebuah kedai.Bagi memastikan syak wasangkanya benar, wanita itu mendakwa dia sengaja bergerak ke beberapa bahagian kedai berbeza, namun lelaki berkenaan tetap mengikutinya.Selepas gagal menghubungi ibunya, wanita itu membuat bayaran dan meninggalkan kedai berkenaan. Bagaimanapun, dia mendakwa lelaki itu masih mengekori pergerakannya di sekitar pusat beli-belah tersebut.Dia kemudian masuk ke sebuah klinik kecantikan untuk mengelak lelaki itu dan mendakwa melihat individu berkenaan berjalan di kawasan luar seolah-olah mencarinya.Wanita itu kemudiannya menghubungi kedai yang dikunjunginya dan meminta pihak pengurusan menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV).Rakaman menunjukkan lelaki tersebut memegang telefon bimbit pada sudut luar biasa ketika wanita itu melintas, menyebabkan dia mengesyaki lelaki itu cuba merakam di bawah skirt.Pihak keselamatan pusat beli-belah kemudian menyoal lelaki berkenaan di hadapan wanita itu dan ibunya.Lelaki terbabit bagaimanapun menafikan mengekori atau merakam wanita tersebut sebaliknya mendakwa memasuki beberapa kedai kerana sedang bermain Pokémon GO yang memerlukan pemain bergerak mencari lokasi tertentu.Dia turut mendakwa dirinya seorang doktor dan berkata dia tidak akan melakukan perbuatan sedemikian kerana ia boleh menjejaskan reputasinya.Menurut wanita itu, pihak keselamatan telah memeriksa dua telefon bimbit lelaki tersebut namun tidak menemui sebarang gambar atau video berunsur lucah membabitkan dirinya.Wanita itu bagaimanapun mendakwa kemungkinan fail berkenaan telah dipadam sebelum pemeriksaan dilakukan, namun tiada bukti dikemukakan bagi menyokong dakwaan tersebut.Akhirnya, wanita itu memilih untuk tidak membuat laporan polis kerana merasakan bukti yang ada tidak mencukupi untuk menyokong pertuduhan jenayah.Sebaliknya, dia memuat naik rakaman CCTV berkenaan di media sosial sebagai peringatan supaya orang ramai lebih berhati-hati ketika berada di tempat awam.-Agensi