SEORANG warga emas hampir maut selepas digigit ular tedung walaupun kepala reptilia itu dipercayai sudah dipenggal kira-kira lima minit sebelumnya.Lelaki berusia 72 tahun itu sedang memancing di kawasan sungai terpencil sebelum ternampak seekor ular tedung. Dia kemudian menggunakan penyodok kecil untuk menyerang ular berkenaan sebelum memenggal kepalanya.Namun, ketika dia mengambil kepala ular itu lima minit kemudian, kepala yang terputus itu secara tiba-tiba menggigit tangannya dengan kuat.Kejadian berlaku pada Mei lalu ketika lelaki dikenali sebagai Zhang sedang memancing di kawasan sungai terpencil di Zhejiang, China.Zhang menyifatkan gigitan tersebut seperti terkena renjatan elektrik, malah kepala ular itu dilaporkan terus melekat pada tangannya sebelum berjaya ditanggalkan.Dia segera mendapatkan rawatan di hospital selepas mengalami bengkak dan perubahan warna pada kawasan luka.Dalam tempoh kurang 20 minit, Zhang mula mengalami sesak dada, penglihatan kabur, loya dan muntah akibat kesan bisa.Keadaannya semakin serius apabila seluruh lengan kiri membengkak sehingga ke bahu, manakala kawasan luka bertukar gelap akibat kerosakan tisu.Doktor kemudian melakukan pembedahan membuang tisu rosak bagi mengelakkan bisa menyebabkan kematian tisu kekal.Selepas dua bulan menjalani rawatan, tangan kiri Zhang berjaya diselamatkan dan dia dibenarkan pulang.Zhang berkata pengalaman itu memberi pengajaran besar kepadanya dan berjanji tidak akan bertindak secara melulu ketika berdepan haiwan berbisa pada masa depan. -Agensi