PERGADUHAN antara dua murid ketika waktu rehat di sebuah sekolah berakhir dengan tragedi apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun meninggal dunia beberapa hari selepas dipercayai dicekik rakan sekelasnya.Insiden itu mencetuskan kemarahan ahli keluarga dan penduduk kampung apabila mereka membawa mayat mangsa ke kawasan sekolah sebelum mengadakan bantahan dan mengambil tindakan terhadap pihak pentadbiran sekolah. Kejadian dilaporkan berlaku pada 23 Julai lalu ketika waktu rehat di sebuah sekolah rendah kerajaan di kampung Pahadpur Sudhwar, di bawah kawasan Balai Polis Charwa, Prayagraj, Uttar Pradesh, India.Menurut keluarga mangsa, murid tahun lima itu mengalami kesukaran bernafas selepas insiden berkenaan.Mangsa pada mulanya diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke sebuah hospital swasta di Prayagraj, namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan pada Rabu.Pegawai Pendidikan Daerah, Kamlendra Kushwaha berkata, satu siasatan telah dijalankan dan laporan awal mendapati kakitangan sekolah dipercayai cuai dalam mengendalikan kejadian tersebut.Sementara itu, Penolong Superintendan Polis, Amit Singh berkata, keluarga mangsa telah membuat laporan polis terhadap guru besar dan beberapa tenaga pengajar di sekolah berkenaan.Susulan itu, guru besar, Yogesh Singh serta lima guru pembantu iaitu Umesh Singh, Patel Manoj Kumar Mishra, Asmita Srivastava, Ratnakar Singh dan Shalini Singh digantung tugas serta-merta.Dua lagi tenaga pengajar kontrak, Vijay Kumar dan Vandana, turut dipindahkan sementara ke blok lain bagi menjalankan tugas mengajar sehingga siasatan selesai.Mayat mangsa dihantar untuk bedah siasat, manakala tindakan lanjut akan diambil selepas siasatan selesai. -Agensi