Anggota penyelamat menjalankan operasi mencari dan menyelamat di pusat membeli-belah Aeon Mall yang runtuh di bandar Kashima, Kumamoto. -Foto Reuters/Kyodo
SEKURANG-KURANGNYA 13 orang terbunuh selepas gempa bumi berukuran 7.1 magnitud melanda kawasan berhampiran bandar Kumamoto di selatan Jepun pada Selasa.Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi berkata, pasukan penyelamat kini bertungkus-lumus mencari mangsa yang dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan. "Masih ada mangsa yang sedang menunggu untuk diselamatkan dan ketika ini setiap saat amat berharga."Kami akan menggerakkan semua aset dan anggota yang ada bagi menyelamatkan seramai mungkin mangsa," katanya kepada pemberita di Tokyo pada Rabu.ARTIKEL BERKAITAN: Tsunami Jepun: 4 ekor paus terdampar di pesisir pantai, gelombang lebih besar mungkin menyusulGempa kuat itu menyebabkan bekalan elektrik terputus di puluhan ribu kediaman selain merosakkan jalan raya di beberapa kawasan.Dalam operasi menyelamat awal pagi Rabu, lapan mangsa berjaya dikeluarkan dari runtuhan sebuah pusat beli-belah.Bagaimanapun, dua wanita berusia lingkungan 20-an maut selepas satu letupan yang dipercayai berlaku kira-kira sejam selepas gempa mengakibatkan bangunan pusat beli-belah itu musnah.Pihak berkuasa sedang menyiasat kemungkinan letupan tersebut berpunca daripada kebocoran gas.Pasukan bomba, polis dan anggota tentera kini memberi tumpuan kepada bahagian bangunan yang dipercayai masih terdapat mangsa berdasarkan panggilan kecemasan yang diterima.Setakat ini, skala sebenar kemusnahan masih belum dapat dipastikan.Media NHK melaporkan antara 20 hingga 30 pekerja pusat beli-belah itu masih belum dapat dikesan.Di seluruh wilayah Kumamoto, kira-kira 260,000 penduduk diarahkan berpindah ke pusat pemindahan sebagai langkah berjaga-jaga.Gempa bumi itu berpusat kira-kira 20 kilometer di selatan Bandar Kumamoto, bandar terbesar di wilayah Kyushu dengan jumlah penduduk sekitar 700,000 orang.Pihak berkuasa turut memberi amaran kemungkinan berlaku gempa susulan yang kuat dalam tempoh kira-kira seminggu, selain risiko tanah runtuh di kawasan yang terjejas.Lebih 36,000 kediaman masih bergelap akibat gangguan bekalan elektrik, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap risiko strok haba apabila suhu dijangka mencecah sekitar 34 darjah Celsius pada Rabu. -Agensi