MISTERI kehilangan seorang lelaki akhirnya terjawab selepas mayatnya ditemukan di dalam perut seekor ular sawa gergasi selepas dipercayai ditelan ketika melalui kawasan hutan pada Isnin.Kejadian yang meremangkan bulu roma itu berlaku di Kampung Waisakai, Daerah Mangoli Timur Laut, Maluku Utara, Indonesia. Ketua Polis Kepulauan Sula, AKBP Handres berkata, mayat mangsa yang dikenali sebagai Hasim Lumbesy, berjaya dikeluarkan selepas penduduk kampung membunuh ular sawa berkenaan sebelum membelah perut reptilia itu. Menurut Handres, kejadian itu disedari sekumpulan lelaki yang melalui kawasan hutan berkenaan ketika dalam perjalanan dari Kampung Pelita Jaya ke Kampung Waisakai.Ketika berada di pertengahan perjalanan, mereka menemukan beberapa barangan dipercayai milik Hasim, termasuk beg galas, beg tangan dan sandal.Mereka turut menemukan kesan darah di lokasi berkenaan sebelum mengambil gambar sebagai bukti kerana mengesyaki sesuatu yang tidak kena.Mereka kemudian berpatah balik ke Kampung Pelita Jaya untuk memaklumkan kejadian itu kepada penduduk kampung.Penduduk kemudian melancarkan operasi pencarian di kawasan hutan.Semasa pencarian dijalankan, mereka menemukan kesan laluan seekor ular sawa sebelum mengesan reptilia tersebut dengan keadaan perut yang besar."Penduduk kemudian membunuh ular itu dan membelah perutnya, sebelum menemukan mayat mangsa," tambah Handres. -Agensi