Saksi kes jenayah khususnya kanak-kanak sering berhadapan dengan cabaran emosi dan psikologi. -Gambar hiasan
KEBERANIAN seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun menjadi kunci utama pembongkaran pembunuhan tragis ibu kandungnya yang sedang sarat hamil lapan bulan.Ia sekali gus membantu polis menahan suspek utama yang juga bapanya sendiri. Kejadian menyayat hati itu berlaku di daerah Mahoba, Uttar Pradesh, India, pada 25 Julai lalu.Dalam kejadian tersebut, mangsa, Manisha Mansoori, 27, dipercayai maut selepas diserang suaminya sendiri menggunakan sabit.Menurut polis, suspek dikenali sebagai Hanif Mansoori dipercayai pulang ke rumah dalam keadaan mabuk sebelum berlaku pertengkaran selepas isterinya menegur tabiatnya yang gemar minum arak.Perselisihan itu bagaimanapun bertukar menjadi tragedi apabila Hanif didakwa bertindak di luar kawalan dengan menyerang isterinya menggunakan senjata tajam tersebut.Mangsa yang ketika itu hamil kira-kira lapan bulan dilaporkan mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan leher sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.Lebih menyedihkan, dua anak pasangan itu iaitu seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun dan adik perempuannya yang baru berusia dua tahun dipercayai berada di dalam rumah ketika kejadian berlaku.Suspek kemudian cuba mengaburi pihak berkuasa apabila menghubungi mereka sekitar pukul 11.30 malam dengan memaklumkan bahawa isterinya telah meninggal dunia.Bagaimanapun, pemeriksaan di lokasi menemukan kesan kecederaan yang menunjukkan mangsa dipercayai diserang menggunakan senjata tajam.Pegawai Polis Daerah Kulpahar, Aniruddh Singh berkata, suspek turut memberikan keterangan versi berbeza ketika disoal siasat sehingga menimbulkan rasa curiga."Anak lelaki pasangan itu yang berusia lima tahun kemudian memberitahu polis bahawa bapanya, yang didakwa mabuk, menyerang ibunya beberapa kali dengan sabit," kata Singh.Keterangan tersebut membawa kepada siasatan lanjut sebelum suspek akhirnya mengaku melakukan perbuatan berkenaan dan ditahan polis.Tragedi hitam itu nyata menggemparkan penduduk kampung kerana bukan sahaja meragut nyawa seorang wanita dan bayi dalam kandungan, malah meninggalkan dua anak kecil yang kini hilang tempat bergantung. -Agensi