Api yang marak dengan pantas mampu bertukar menjadi bencana sekelip mata, lebih-lebih lagi ketika cuaca panas dan berangin. -Gambar hiasan
HASRAT seorang warga emas mencari rumput untuk dijadikan makanan ternakannya berakhir tragedi apabila dia ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai terperangkap dalam kebakaran di kawasan kebun.Mangsa, Minto Paimin, 82, ditemukan maut di sebuah tanah lapang di Desa Mojorejo, Bendosari, Indonesia pada pagi Jumaat. Menurut Ketua Daerah Bendosari, Firmansyah, mangsa keluar ke kebunnya sekitar pukul 10 pagi dengan membawa guni, sabit dan pemetik api untuk mencari rumput buat lembu peliharaannya.Ujarnya, sebaik tiba di lokasi, mangsa dipercayai membakar rumput, daun serta ranting kering bagi membersihkan kawasan tersebut."Bagaimanapun, tiupan angin yang kuat menyebabkan api merebak dengan pantas sebelum mangsa dipercayai terperangkap."Disebabkan faktor usia, mangsa dipercayai gagal menyelamatkan diri daripada kebakaran itu," katanya.Keluarga yang bimbang selepas mangsa tidak pulang ke rumah kemudian mencarinya di kawasan kebun berkenaan.Sekitar pukul 6.10 petang, anak dan cucu mangsa menemukan warga emas itu dalam keadaan tidak bernyawa dengan kesan melecur pada tubuhnya sebelum kejadian dilaporkan kepada pihak berkuasa.Pemeriksaan awal oleh polis dan pasukan perubatan mendapati mangsa mengalami kecederaan akibat kebakaran pada kira-kira 25 peratus bahagian badan, termasuk muka, leher, kedua-dua tangan dan kaki.Susulan kejadian itu, pihak berkuasa menasihatkan orang ramai supaya tidak membakar rumput atau sampah di kawasan terbuka, terutama ketika cuaca panas dan berangin kerana api boleh merebak dengan cepat serta sukar dikawal. -Agensi