Antara sebahagian 76 barangan termasuk gitar elektrik dan penguat bunyi yang dirampas polis. -Foto Kyodo
SEORANG lelaki akhirnya ditahan pihak berkuasa selepas didakwa memasang radio serta bermain gitar elektrik dengan kelantangan melampau di rumahnya selama lebih tujuh tahun.Tindakan individu terbabit membawa derita kepada jiran sekeliling sehingga ada yang mendakwa mengalami pelbagai masalah kesihatan serius, termasuk insomnia dan kemurungan.Suspek didakwa mendedahkan tiga penduduk berusia antara 60 hingga 80 tahun kepada gangguan bunyi radio dan gitar elektrik yang bising, siang serta malam, bermula Jun 2019 hingga Julai tahun ini. Polis turut mengesyaki bunyi bising yang berlaku antara April 2025 hingga Julai tahun ini menyebabkan seorang wanita mengalami tinnitus atau bunyi berdesing dalam telinga.Dalam serbuan itu, polis merampas 76 barangan termasuk gitar elektrik dan penguat bunyi.Suspek dikenali sebagai Kazunori Yokoi dan kejadian berlaku di Kyoto, Jepun.Menurut polis, radio berkenaan boleh didengari sepanjang hari, manakala bunyi gitar elektrik kedengaran dari awal pagi hingga lewat petang.Penyiasat mengukur tahap bunyi di kawasan kejiranan itu sekitar 80 hingga 90 desibel, iaitu kira-kira sekuat bunyi yang didengar di dalam kereta api yang sedang bergerak.Polis memaklumkan bahawa mereka sebenarnya pernah beberapa kali memberi amaran kepada Yokoi sejurus menerima aduan gangguan daripada penduduk tempatan seawal Januari 2017.Walau bagaimanapun, empat jiran yang sudah tidak tahan menanggung insomnia serta masalah kesihatan bertindak membuat laporan rasmi pada Jun dan Julai tahun ini.Seorang jiran berusia 60-an meluahkan deritanya yang mengalami masalah telinga berdesing berpunca daripada gangguan berpanjangan itu.“Memang teruk kerana pelbagai bunyi bercampur-aduk sepanjang hari,” katanya. -Agensi