suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Suami isteri tuntut siasatan telus selepas bayi pramatang meninggal dunia, dakwa staf hospital buat jamuan dalam wad NICU

Bayi pramatang memerlukan perhatian dan penjagaan khusus bagi mengurangkan risiko komplikasi kesihatan. -Gambar hiasan

SEPASANG suami isteri menuntut siasatan telus dijalankan selepas bayi lelaki mereka yang dilahirkan pramatang meninggal dunia di sebuah hospital.

Pasangan berkenaan mendakwa jamuan makan yang diadakan di dalam Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) menjadi penyebab kepada kematian bayi mereka.

Susulan itu mereka mahu perkara itu disiasat termasuk pematuhan prosedur kebersihan dan keselamatan di NICU.

Suami isteri itu juga memohon bedat siasat dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian bayi mereka.

Bayi malang itu dilahirkan pramatang pada 17 Julai lalu ketika kandungan berusia lapan bulan sebelum ditempatkan di NICU Hospital Ang Thong, Thailand untuk pemantauan rapi.

Bapa bayi berkenaan berkata, doktor memaklumkan anaknya mengalami masalah pernafasan sejurus dilahirkan dan mencadangkan tiub pernafasan dipasang yang dipersetujuinya.

Beberapa hari kemudian, mereka dimaklumkan keadaan bayi stabil sebelum dibenarkan melawat pada 20 Julai.

Namun, pasangan itu terkejut apabila mendapati beberapa meja makan disediakan di dalam unit NICU.

Mereka mendakwa doktor, jururawat dan kakitangan hospital sedang menikmati hidangan berhampiran inkubator bayi.

Malah, mereka mendakwa diminta keluar dari unit berkenaan kerana kakitangan sedang menjamu selera.

Tambah pasangan tersebut, pekerja katering juga keluar masuk ke dalam NICU tanpa memakai pelitup muka atau kelengkapan perlindungan.

Keesokan harinya, hospital menghubungi pasangan itu dan memaklumkan keadaan bayi semakin kritikal sebelum disahkan meninggal dunia sebaik mereka tiba di hospital.

Menurut pasangan berkenaan, doktor memaklumkan bayi mereka mungkin mengalami jangkitan dalam darah, namun rekod perubatan menyatakan punca kematian adalah tekanan darah tinggi pada paru-paru.

Pasangan itu kemudian menangguhkan proses pengebumian kerana mahu siasatan bebas dijalankan bagi menentukan punca kematian serta sama ada jamuan yang diadakan di NICU mempunyai kaitan dengan insiden tersebut.

Hasil pemeriksaan forensik awal dilaporkan menemui kecederaan pada buku lali kanan serta bahagian depan kiri tengkorak bayi, namun punca kematian masih belum dapat dipastikan.

Sampel darah dan tisu telah diambil untuk analisis lanjut, dengan keputusan penuh dijangka diperoleh dalam tempoh kira-kira dua minggu.

Setakat ini, pihak hospital belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung dakwaan yang dibuat keluarga berkenaan. -Agensi

Artikel Lain