SEORANG lelaki didakwa tergamak menikam rakan sekerjanya hingga mati akibat berang selepas mangsa menjalinkan hubungan dengan bekas kekasihnya.Kejadian tragis itu berlaku berpunca daripada pertengkaran antara kedua-dua lelaki berkenaan yang bekerja di unit berbeza dalam syarikat swasta sama berhubung hubungan mangsa bersama wanita terbabit. Menurut polis, wanita berkenaan pernah menjalin hubungan dengan suspek selama tujuh tahun sebelum dia mula berhubung dengan mangsa.Suspek didakwa tidak berpuas hati dengan hubungan itu dan pernah meminta kedua-duanya supaya tidak lagi berhubung, menyebabkan ketegangan antara mereka.Kejadian dilapor berlaku di Greater Noida, Uttar Pradesh di India.Mangsa dikenali sebagai Suresh, berasal dari Bareilly, manakala suspek ialah Naresh.Menurut Pegawai Polis Tambahan Greater Noida, Santosh Kumar, kedua-dua lelaki itu bertemu berhampiran Sirsa Circle sebelum minum bir bersama.Bagaimanapun, pertengkaran tercetus apabila isu hubungan wanita berkenaan dengan mangsa dibangkitkan sebelum keadaan bertukar menjadi pergaduhan fizikal.“Dalam pergaduhan itu, Naresh didakwa menyerang Suresh menggunakan senjata tajam hingga menyebabkan kecederaan parah.“Naresh turut mengalami kecederaan dalam kejadian berkenaan,” katanya.Kedua-dua lelaki itu kemudian dikejarkan ke hospital, namun doktor mengesahkan Suresh meninggal dunia.Naresh ditahan selepas menerima rawatan dengan siasatan lanjut berhubung kejadian masih dijalankan. -Agensi