SEORANG lelaki kini hidup sebatang kara selepas isteri dan dua anak lelakinya maut dalam kemalangan jalan raya secara berasingan dalam tempoh beberapa tahun lalu.Dalam kejadian terbaru pada Selasa lalu, anak lelakinya berusia 17 tahun maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebatang pokok ketika dalam perjalanan ke lokasi melihat matahari terbit. Mangsa dipercayai menunggang dalam keadaan mabuk dan tidak memiliki lesen memandu.Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang membonceng motosikal itu turut maut dalam kejadian berkenaan.Menurut laporan, mangsa dikenali dengan nama keluarga Liu sedang menuju ke lokasi berkenaan di Tainan, Taiwan bersama tiga rakannya pada awal pagi.Motosikal ditunggangnya terbabas sebelum merempuh pokok dan terbakar dan menyebabkan dua mangsa meninggal dunia selepas dibawa ke hospital.Siasatan polis mendapati mangsa tidak memiliki lesen, manakala ujian darah menunjukkan paras alkohol dalam badannya melebihi had ditetapkan.“Tahun lalu, abangnya juga meninggal dunia selepas menunggang motosikal tanpa lesen. Tahun ini, tiba pula gilirannya,” katanya.Bapa itu berkata, isterinya juga meninggal dunia dalam kemalangan berkaitan pemanduan dalam keadaan mabuk ketika kedua-dua anak mereka masih kecil.Menurutnya, isterinya yang ketika itu berusia 24 tahun merempuh tiang jambatan sebelum tercampak keluar dari kenderaan.Mengenangkan kematian anak bongsunya, lelaki itu berkata, dia pernah memberi amaran supaya tidak menunggang motosikal pada malam sebelum kejadian.Namun, anaknya mengambil motosikal berkenaan menggunakan kunci pendua.-Agensi