SEORANG guru sebuah sekolah rendah dan suaminya ditahan polis atas dakwaan melakukan jenayah seksual terhadap seorang pelajar Tahun Dua.Guru berkenaan didakwa memperdaya kanak-kanak yang juga anak yatim piatu berkenaan ke rumahnya untuk dijadikan 'alat' pemuas nafsu songsang suaminya. Kejadian itu dipercayai sudah berlarutan sejak Mei lalu.Bagaimanapun perbuatan pasangan suami isteri itu akhirnya terbongkar selepas mangsa gagal hadir ke sekolah sejak dua minggu lalu selain tidak menduduki peperiksaan.Bimbang dengan keadaannya, ibu angkat mangsa membawa kanak-kanak itu ke sebuah klinik untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan akhirnya menemukan kecederaan pada bahagian duburnya.Mangsa kemudian mengaku menjadi mangsa kekerasan seksual.Insiden itu turut mencetuskan kemarahan penduduk hingga bertindak menyerang rumah pasangan terbabit di Jalan Burhanuddin, Teluk Nibung, Kota Tanjungbalai, Sumatera, Indonesia.Video tular di media sosial memaparkan orang ramai berkumpul di hadapan rumah pasangan berkenaan sambil mendesak mereka keluar bagi memberi penjelasan.Bagaimanapun, pihak polis tiba di lokasi sebelum pasangan suami isteri itu dibawa keluar menggunakan kenderaan rasmi bagi mengelakkan mereka menjadi sasaran amukan penduduk.Ketua Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanjungbalai, Iptu Benjamin Silaban berkata, siasatan masih diteruskan walaupun berdepan beberapa kekangan dalam mendapatkan keterangan saksi.Menurutnya, polis sedang mengumpulkan bukti yang mencukupi sebelum mengambil tindakan selanjutnya.Dalam masa terdekat, polis akan mengadakan prosiding kes selain menghantar Surat Pemberitahuan Perkembangan Hasil Penyelidikan (SP2HP) kepada pelapor bagi memaklumkan perkembangan siasatan. -Agensi