SEPASANG suami isteri berdepan detik memilukan apabila dimaklumkan bayi lelaki mereka yang baru berusia sebulan disahkan meninggal dunia akibat komplikasi jantung dan paru-paru.Namun ketika Noah Gabriel da Cruz Santos sedang diuruskan untuk dibawa ke pusat pengebumian, seorang petugas terkejut apabila mendapati bayi itu sebenarnya masih hidup selepas melihat tubuh kecilnya bergerak di dalam beg mayat. Kejadian berlaku pada 15 Julai lalu di Hospital Santa Casa di São Paulo, Brazil.Sebelum itu, Noah ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) kerana memerlukan pembedahan dan sedang menunggu masa dipindahkan ke hospital lain.Menurut pihak pengurusan hospital, degupan jantung Noah terhenti sebelum pasukan perubatan bertindak menjalankan prosedur bantuan pernafasan kecemasan (CPR) selama 45 minit.Bagaimanapun, selepas semua usaha menyelamatkan gagal, Noah disahkan meninggal dunia pada petang hari tersebut.Ibu bapanya kemudian dimaklumkan mengenai kematian anak mereka sebelum mayat bayi itu diserahkan untuk urusan pengebumian.ARTIKEL BERKAITAN: Hidup semula selepas disahkan meninggal dunia, pesakit bongkar apa yang dilalui ketika matiNamun, pekerja rumah pengebumian, Regina Célia Paschoal, berkata dia terkejut apabila melihat Noah bergerak sebaik membuka beg mayat."Saya membukanya dan bayi itu mula bergerak dengan lebih jelas. Dia juga mengeluarkan bunyi seolah-olah sedang cuba bernafas," katanya kepada EPTV.Noah kemudian dibawa semula ke hospital untuk menjalani pemeriksaan dan menerima rawatan rapi.Susulan kejadian ajaib itu, Hospital Santa Casa menegaskan bahawa semua prosedur bagi mengesahkan kematian Noah telah dipatuhi secara ketat mengikut piawaian.Menurut wakil hospital, protokol pengesahan kematian di Brazil sememangnya diiktiraf kerana mempunyai tahap ketelitian serta keselamatan yang tinggi.Sementara itu, ibu Noah, Letícia Cristina da Cruz Santos, berkata dia masih sukar mempercayai apa yang berlaku dan menganggap anaknya sebagai satu keajaiban."Kami sedang menyaksikan kebesaran Tuhan dan melihat pejuang kecil kami terus berjuang untuk sembuh. Kami benar-benar percaya kepada keajaiban ini," ujarnya. -Agensi