Penyelenggaraan alatan penting bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini terjadi. -Gambar hiasan AI
SEORANG pesakit dilaporkan meninggal dunia kira-kira tiga jam selepas sebuah kipas siling terjatuh ke atas katilnya dalam kejadian di sebuah hospital pada Sabtu.Mangsa, Akbar, 42, disahkan meninggal dunia sekali gus mencetuskan tuntutan daripada ahli keluarganya supaya siasatan menyeluruh dijalankan terhadap insiden berkenaan. Kejadian itu dilaporkan berlaku di sebuah hospital di New Delhi, India.Menurut pihak hospital, insiden berlaku kira-kira pukul 9.30 malam di salah sebuah kubikel Wad 27 apabila kipas siling itu terjatuh selepas batang (penggantung) penyokongnya patah. Saksi mendakwa kipas berkenaan tercabut secara tiba-tiba sebelum menghempap bahagian abdomen mangsa yang sedang terlantar di atas katil. Kakitangan hospital kemudian segera memberikan rawatan kepada pesakit itu.Bagaimanapun, pihak hospital menegaskan kematian mangsa bukan berpunca daripada insiden tersebut, sebaliknya disebabkan keadaan kesihatannya sedia ada. Menurut kenyataan hospital, mangsa dimasukkan ke wad dalam keadaan tidak sedarkan diri akibat tekanan darah tinggi tidak terkawal, strok, radang paru-paru serta kegagalan pernafasan.Hospital turut memaklumkan pemeriksaan klinikal selepas kejadian tidak menemukan sebarang kecederaan luaran pada mangsa, pesakit lain, waris atau petugas kesihatan lain mengalami kecederaan serius akibat insiden itu.Seorang peguam, Aslam Qureshi, yang mendakwa menyaksikan kejadian itu berkata, dia melihat sendiri kipas tersebut terjatuh ke atas mangsa sebelum merakam video kejadian.Aslam turut mendakwa berlaku kelewatan dalam tindakan doktor selain menyifatkan pihak pengurusan hospital cuai kerana beberapa kipas dan pendingin hawa di wad dilaporkan tidak berfungsi dengan baik.Pihak hospital memaklumkan pasukan penyelenggaraan Jabatan Kerja Raya (PWD) segera tiba di lokasi, menanggalkan kipas yang rosak dan menggantikannya dengan unit baharu. Kes itu kini dalam siasatan lanjut oleh pihak hospital, manakala keluarga mangsa menuntut siasatan menyeluruh dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. -Agensi