SEPASANG warga emas maut bersama 73 ekor kucing peliharaan selepas kediaman mereka musnah dijilat api.Dalam kejadian di Thon Buri, Bangkok, awal pagi Jumaat lalu itu, sebanyak 17 ekor kucing berjaya diselamatkan dan kini ditempatkan sementara di pusat perlindungan haiwan. Pihak berkuasa yang menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 6.00 pagi segera bergegas ke lokasi kejadian.Sebaik memasuki rumah berkenaan, pasukan bomba menemukan mayat seorang lelaki berusia 62 tahun dan seorang wanita berusia 58 tahun di dalam sebuah bilik di tingkat dua.Polis memaklumkan punca awal kebakaran dipercayai akibat litar pintas, namun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesahkan punca sebenar kejadian.Gabenor Bangkok, Chadchart Sittipunt berkata, pasangan berkenaan sebelum ini banyak menghabiskan masa menjaga kucing terbiar dan dipercayai memelihara kira-kira 100 ekor haiwan di rumah tersebut.Menurutnya, jumlah kucing yang maut dalam tragedi itu meningkat kepada 73 ekor, manakala 17 ekor lagi berjaya diselamatkan.Kucing-kucing yang terselamat pada awalnya dibawa ke Pejabat Daerah Thon Buri sebelum dipindahkan ke Pusat Perlindungan Anjing dan Kucing Metropolitan Bangkok di daerah Prawet.Chadchart turut menyeru orang ramai yang berminat untuk mengambil kucing-kucing berkenaan sebagai haiwan peliharaan supaya menghubungi pihak pusat perlindungan.Tragedi itu mendapat perhatian ramai kerana pasangan berkenaan dikenali sebagai pencinta haiwan kerana sanggup meluangkan masa dan tenaga menjaga kucing terbiar di kawasan berkenaan. -Agensi