Kejadian berlaku apabila 13 orang pelajar sedang menjalankan operasi pembersihan sambil berdiri di atas tangga kayu yang diletakkan di atas tangki yang terbuka. -Foto IndiaToday
SEORANG pelajar berusia 17 tahun maut manakala 12 lagi cedera selepas terjatuh ke dalam tangki septik terbuka ketika menjalankan kerja-kerja pembersihan, di sebuah madrasah.Kejadian itu berlaku apabila 13 pelajar asrama berusia antara 15 hingga 18 tahun di sebuah madrasah di daerah Deeg, Rajasthan, India, diarahkan membersihkan tangki septik yang tidak lagi digunakan. Menurut polis, ketika kejadian kesemua pelajar berada di atas tangga kayu yang diletakkan merentasi tangki terbuka sebelum mereka dipercayai terjatuh ke dalamnya.Mangsa yang maut dikenali sebagai Rohin, 17, berasal dari Haryana, manakala kesemua pelajar yang cedera dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Sembilan daripada mereka dilaporkan dibenarkan pulang pada Sabtu selepas keadaan bertambah baik, sementara selebihnya masih menerima rawatan.Penguasa Polis Daerah Deeg, Kamble Sharan Gopinath berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan selepas menerima aduan berhubung dakwaan kecuaian.Siasatan kini tertumpu kepada punca pelajar terbabit diarahkan membersihkan tangki septik serta sama ada langkah keselamatan dan penyeliaan yang sewajarnya telah disediakan. -Agensi