suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Lelaki sumbat mayat gadis 17 tahun dalam bagasi, heret naik skuter!

Tangkap layar CCTV menunjukkan Simon dilihat berpegangan tangan dengan mangsa sebelum membawa sebuah bagasi keluar dari hotel.

CUBAAN seorang lelaki warga asing melarikan diri ke luar negara gagal apabila dia ditahan di sebuah lapangan terbang, selepas didakwa membunuh remaja perempuan berusia 17 tahun.

Suspek yang dikenali sebagai Simon Peter Carman, 45, diberkas pihak imigresen kira-kira pukul 9.30 malam (waktu tempatan) pada Jumaat ketika mahu menaiki penerbangan ke Perth, Australia.

Dia kemudian diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

Kejadian itu berlaku di Pattaya, Thailand apabila mayat mangsa, Tunchanok Donhomla, ditemukan disumbat dalam sebuah bagasi yang ditinggalkan di kawasan semak berhampiran landasan kereta api.

Menurut polis, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) didakwa menunjukkan suspek berjalan berpegangan tangan dengan mangsa di lobi sebuah hotel kira-kira pukul 3.30 pagi pada Khamis.

Rakaman lain pada malam yang sama pula didakwa memaparkan suspek keluar dari hotel sambil membawa sebuah bagasi hitam sebelum mengikatnya pada sebuah skuter.

Suspek kemudian menunggang skuter berkenaan ke kawasan landasan kereta api yang terletak kira-kira 10 minit dari hotel.

Mayat mangsa kemudian ditemukan di dalam bagasi yang ditinggalkan di kawasan semak berhampiran landasan tersebut.

Ketika disoal siasat, suspek mendakwa mangsa cuba merompaknya dengan mengacukan sebilah pisau sehingga berlaku pergelutan.

Simon meluahkan rasa kesal serta meminta maaf kepada keluarga mangsa.

"Saya membuka dompet untuk mengeluarkan wang, tiba-tiba ada (acu) pisau di depan muka saya," dakwanya dalam rakaman video yang dirakam polis.

Bagaimanapun, penyiasat mendakwa suspek mengaku merampas pisau berkenaan untuk mempertahankan diri sebelum mencekik leher mangsa menggunakan sebelah tangan.

Suspek turut didakwa mengaku memasukkan mayat remaja itu ke dalam bagasi selepas kejadian.

Polis turut menemukan kesan calar pada leher dan lengan suspek, manakala bilik hotel yang didiaminya menunjukkan tanda-tanda berlaku pergelutan.

Dalam mesej yang dirakam polis kepada keluarga mangsa, suspek berkata dia berasa bersalah atas kejadian itu.

"Saya rasa bersalah atas apa yang berlaku kepada anak anda. Ia di luar kawalan saya. Saya tahu anda pasti sedih dan kecewa, sama seperti saya," katanya memberikan mesej kepada keluarga mangsa.

Selain disiasat atas kes bunuh, suspek turut didakwa melarikan atau menculik individu bawah umur 18 tahun bagi tujuan tidak bermoral.

Jika disabitkan kesalahan membunuh di Thailand, suspek berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup.

Sementara itu, Jabatan Hal Ehwal Luar Australia mengesahkan pihaknya mengetahui mengenai penahanan tersebut dan sedang memberikan bantuan konsular kepada lelaki berkenaan. -Agensi

Artikel Lain