SITUASI cemas melanda ibu kota China apabila sebuah pesawat kecil dilaporkan merempuh bangunan tertinggi di Beijing, petang Jumaat sehingga mencetuskan panik dalam kalangan warga kota.Menurut laporan portal antarabangsa, insiden mengejutkan itu berlaku di menara pencakar langit setinggi 109 tingkat, CITIC Tower atau lebih dikenali dalam kalangan penduduk tempatan sebagai China Zun. Rakaman tular di media sosial [Tonton Video] jelas memaparkan detik-detik cemas apabila serpihan yang dipercayai daripada pesawat berkenaan jatuh berserakan dari bangunan tinggi tersebut.Malah, impak kuat rempuhan itu turut menyaksikan bahagian ekor pesawat tersangkut, selain sebuah teksi di bawah bangunan pecah cermin tingkapnya akibat terkena serpihan.Susulan kejadian itu, suasana menjadi kecoh apabila penghuni bangunan diarahkan berpindah keluar dengan segera dan berkumpul di kawasan selamat berhampiran pintu masuk utama.Pasukan penyelamat termasuk jentera bomba, polis, serta deretan ambulans kini dikerahkan ke lokasi bagi mengawal keadaan.Setakat ini, pihak berkuasa masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung insiden berkenaan.Sementara itu, imej tular yang memaparkan nombor pendaftaran pesawat dipercayai menunjukkan ia adalah pesawat ringan buatan tempatan jenis Sunward SA60L Aurora.Pesawat itu dipercayai milik syarikat penerbangan am yang menawarkan latihan juruterbang, penerbangan rekreasi peribadi dan fotografi udara.Data penerbangan yang belum disahkan daripada Flightradar24 pula didakwa menunjukkan pesawat itu menyimpang jauh dari laluan asal selepas berlepas dari Lapangan Terbang Shifosi di Beijing. -Agensi