suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Main api sampai bengkel terbakar, budak 5 tahun punca hampir 30 ‘handphone’ musnah... Bapa guna cara sendiri ‘ajar’ anak

Keadaan ruang bengkel telefon bimbit di kediaman Peng yang dijilat api. -Foto Douyin

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia lima tahun secara tidak sengaja menyebabkan kebakaran di rumah keluarganya sehingga mengakibatkan kerugian besar lebih RM120,000. 

Kejadian dipercayai bermula apabila budak lelaki berkenaan melihat percikan api daripada soket sambungan elektrik yang mengalami litar pintas ketika bermain di rumah yang terletak di Shenzhen, China. 

Menurut laporan media tempatan, bapanya yang dikenali sebagai Peng merupakan pemilik sebuah kedai telefon bimbit dan menjadikan sebahagian ruang rumahnya sebagai bengkel untuk menyimpan serta membaiki peranti elektronik.

Tertarik dengan percikan tersebut, kanak-kanak itu dikatakan membakar sekeping tisu sebelum api merebak dengan pantas ke seluruh bengkel.

Cemas melihat situasi berkenaan, kanak-kanak tersebut bukan sahaja tidak mengejutkan bapanya yang sedang tidur, malah sempat menutup pintu bilik bagi menghalang asap memasuki ruang berkenaan sebelum dia sendiri berlindung di bilik lain.

"Dia tidak mengejutkan saya. Dia juga menghidupkan pendingin hawa untuk saya. Sangat bertimbang rasa," kata Peng ketika menceritakan semula kejadian itu kepada media.

Peng hanya menyedari kebakaran tersebut selepas terhidu bau asap. 

Dia kemudian segera bertindak memadamkan api sebelum ia terus merebak.

Walaupun berjaya dikawal, kebakaran itu menyebabkan bengkel serta sebahagian ruang tamu rumahnya hangus.

Hampir 30 telefon bimbit turut musnah dijilat api, termasuk lebih separuh daripadanya merupakan iPhone. 

Kerugian dianggarkan melebihi 200,000 yuan (kira-kira RM121,111).

Lebih malang, perniagaan milik Peng tidak mempunyai perlindungan insurans, menyebabkannya terpaksa menanggung sendiri kerugian tersebut.

Apa yang menyentuh hati, Peng berkata anaknya berusaha membersihkan lantai rumah selepas kejadian berkenaan sebagai tanda rasa bersalah terhadap apa yang berlaku.

Tidak memarahi atau menghukum anaknya, Peng memilih untuk menjadikan insiden tersebut sebagai satu pengajaran penting mengenai bahaya bermain dengan api dan akibat daripada tindakan yang dilakukan tanpa berfikir panjang. -Agensi

Artikel Lain