SEORANG lelaki di timur China dijatuhi hukuman penjara atas kesalahan membiakkan ratusan ular sawa secara haram di kediamannya.Kes luar biasa itu didedahkan media kerajaan China, CCTV, yang menyifatkannya sebagai ancaman serius terhadap hidupan liar dilindungi. Siasatan bermula pada Mac 2024 apabila seorang warga emas di Taizhou, wilayah Zhejiang, menemui seekor ular sawa besar di kaki gunung dan melaporkannya kepada pihak berkuasa.Polis mengesyaki ular itu terlepas daripada pembiak kerana spesies tersebut bukan habitat asal kawasan berkenaan. Hasil siasatan lanjut polis berjaya membongkar kegiatan seorang lelaki dikenali sebagai Guo, susulan penggunaan elektrik yang tinggi di kediamannnya.Ini kerana pembiak perlu mengekalkan suhu sesuai bagi reptilia itu, iaitu antara suhu 20 hingga 30 darjah Celsius.Pemerhatian lanjut mendapati seorang rakannya, Di, sering menghantar makanan berupa tikus putih yang dibeli secara dalam talian untuk diberikan kepada ular-ular dalam jagaan Guo.Ketika serbuan dilakukan, polis terkejut apabila menemui ratusan kotak plastik yang disusun di dalam apartmen Guo, dengan setiap satu menempatkan seekor ular sawa.Sebanyak 309 ekor ular sawa dirampas dari kediaman itu dan dipindahkan ke zoo tempatan.Secara keseluruhan, kes itu melibatkan 436 ekor ular sawa bernilai lebih 30 juta yuan (kira-kira RM18.3 juta).Untuk rekod, ular sawa merupakan haiwan dilindungi di China dan sebarang aktiviti pembelian, penjualan, pembiakan atau pengangkutannya memerlukan kebenaran rasmi. -Agensi