HASRAT seorang wanita untuk menuntut keadilan berkecai apabila dia maut dibunuh dengan kejam ketika dalam perjalanan menuju ke balai polis bagi melaporkan sikap ganas suaminya sendiri.Mangsa dikenali sebagai Nisha Jatav, 35, dipercayai diserang menggunakan sebatang besi oleh suaminya sehingga meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala. Kejadian ngeri itu berlaku di Kampung Sahariyan Ka Pura, Madhya Pradesh, India pada petang Isnin.Polis menerima laporan selepas sepupu mangsa memaklumkan kejadian itu kepada ahli keluarga dan pihak berkuasa.Menurut polis, sebelum kejadian, pasangan itu bertengkar di rumah dipercayai berpunca daripada isu menghidangkan makanan sebelum bertukar menjadi pergaduhan. Suami mangsa didakwa memukulnya, menyebabkan wanita itu mengambil keputusan untuk membuat laporan polis.Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan ke Balai Polis Dimni, suspek dipercayai mengekori mangsa sebelum menghalangnya berhampiran sebuah ladang dan memukul bahagian belakang kepala wanita itu menggunakan besi sehingga maut.Timbalan Superintendan Polis, Vijay Bhadauria berkata suspek melarikan diri selepas membunuh isterinya dan kini sedang diburu polis.Hasil bedah siasat mendapati terdapat beberapa kesan kecederaan lain pada tubuh mangsa yang dipercayai akibat dipukul sebelum serangan yang meragut nyawanya.Siasatan turut mendapati mangsa dan suspek telah mendirikan rumah tangga selama kira-kira 15 tahun serta mempunyai empat orang anak.Ahli keluarga mangsa memaklumkan wanita itu dipercayai telah lama menjadi mangsa keganasan rumah tangga, manakala siasatan lanjut masih dijalankan. -Agensi