AMERIKA Syarikat (AS) dan Iran dilaporkan telah memeterai satu memorandum persefahaman (MoU) yang menggariskan syarat penamatan perang antara kedua-dua pihak, sekali gus membuka laluan ke arah menamatkan konflik yang tercetus sejak Februari lalu.Kedua-dua presiden, Donald Trump dan Masoud Pezeshkian dilaporkan menandatangani memorandum tersebut secara digital pada Rabu. Menurut pegawai AS, dokumen itu ditandatangani secara digital pada Ahad oleh Naib Presiden AS, JD Vance dan Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf, dengan proses berkenaan disaksikan oleh Trump.Antara kandungan utama perjanjian itu ialah komitmen untuk melaksanakan penamatan segera dan kekal operasi ketenteraan dalam perang melibatkan AS, Israel dan Iran.Intipati itu turut melibatkan pembukaan semula Selat Hormuz yang menjadi laluan penting kira-kira 20 peratus perdagangan minyak dunia.Sebagai sebahagian daripada perjanjian, AS dijangka menarik balik pelbagai sekatan ekonomi terhadap Iran, membebaskan aset dan dana negara itu yang dibekukan serta mengurangkan sekatan maritim di pelabuhan Iran.Sebagai balasan, Iran mengesahkan semula komitmennya untuk tidak membangunkan atau memperoleh senjata nuklear, selain bersetuju mengadakan mekanisme pemantauan terhadap stok bahan uranium yang dimilikinya.Dalam pada itu, kedua-dua pihak turut bersetuju meneruskan rundingan bagi mencapai perjanjian muktamad dalam tempoh 60 hari, manakala pemimpin negara-negara G7 dilaporkan menyambut baik perkembangan tersebut.Mereka menyifatkannya sebagai peluang bersejarah untuk menghalang Iran daripada memiliki senjata nuklear serta mengurangkan ancaman keselamatan di rantau Asia Barat. -Agensi