suria

Lepas belasah isteri sampai mati, suami tidur sebilik dengan mayat selama dua hari

Proses bedah siasat dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian seseorang. -Gambar hiasan

SEORANG lelaki didakwa membunuh isterinya dan tinggal bersama mayat mangsa selama dua hari, malah dua anak mereka yang masih kecil turut berada di rumah sepanjang tempoh tersebut.

Kejadian mengerikan itu dilaporkan berlaku di daerah Khargone, Madhya Pradesh, India.

Tertuduh yang dikenal pasti sebagai Jagdish Dabar, 38, tinggal bersama mangsa yang merupakan isteri keduanya, Reemabai, 25, serta dua anak mereka yang masing-masing berusia tiga dan empat tahun.

Menurut pihak polis, pasangan itu dipercayai kerap bertengkar mengenai perkara kecil, malah tertuduh juga dikatakan sering bertindak kasar terhadap isterinya.

Pada malam kejadian, pertengkaran dilaporkan tercetus sekali lagi, kali ini berpunca daripada isu makanan sebelum keadaan menjadi semakin tegang dan tidak terkawal.

Dalam keadaan marah, tertuduh didakwa menyerang mangsa menggunakan sebatang kayu dan memukulnya berulang kali.

Serangan tersebut menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di seluruh badan sebelum meninggal dunia akibat pendarahan yang serius.

Walaupun menyedari isterinya sudah meninggal dunia, tertuduh dipercayai tidak melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa.

Sebaliknya, dia didakwa terus berada di dalam rumah dan tidur berhampiran mayat isterinya selama dua hari, bersama dua anak mereka yang masih kecil di dalam bilik yang sama.

Kejadian tersebut akhirnya terbongkar selepas bapa tertuduh tampil memaklumkan perkara itu kepada pihak polis.

Suspek telah dibawa ke mahkamah tempatan sebelum dihantar ke penjara, manakala siasatan lanjut masih dijalankan. -Agensi

Artikel Lain