suria

Mangsa cabul ditahan polis, pelaku murung sampai bunuh diri selepas wajah tular di media sosial

Lelaki itu mengalami tekanan selepas video memaparkan wajahnya tular di media sosial.

MALANG bagi seorang wanita apabila video yang dimuat naik di media sosial berhubung dakwaan gangguan seksual di dalam bas membuatkan dia ditahan polis.

Penahanan tersebut susulan kematian suspek lelaki yang dirakam dalam video berkenaan.

Berdasarkan laporan, individu terbabit ditemukan meninggal dunia di rumahnya pada 18 Januari lalu, selepas beberapa hari rakaman video mengenainya tular di media sosial.

Kejadian dilaporkan berlaku di Kerala, India.

Menurut polis, wanita itu ditahan pada Rabu lalu di Kozhikode, Kerala dan direman 14 hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 109 Bharatiya Nyaya Sanhita (BNS) iaitu subahat membunuh diri.

Kes itu tercetus susulan satu video tular pada awal bulan ini yang memaparkan seorang lelaki didakwa mencabul wanita ketika menaiki bas dari Payyanur ke Kozhikode.

Difahamkan, rakaman tersebut tular dalam tempoh singkat dan meraih hampir dua juta tontonan di pelbagai platform media sosial.

Dalam perkembangan sama, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Negeri Kerala turut mengarahkan siasatan dijalankan terhadap kematian lelaki itu.

Ahli kehakiman Suruhanjaya, K Byjunath mengarahkan Timbalan Ketua Polis Zon Utara untuk menyiasat kes berkenaan dan mengemukakan laporan dalam tempoh seminggu.

Kes itu dijangka dibincangkan dalam sidang Suruhanjaya yang akan diadakan di daerah tersebut pada 19 Februari.

Suruhanjaya memulakan tindakan susulan aduan dikemukakan dua peguam, V Devadas dan Abdu Rahim Pookkath, yang mendakwa lelaki berkenaan mengalami tekanan mental teruk selepas video itu didedahkan kepada umum.

Menurut aduan itu, keadaan mental mangsa dipercayai merosot sehingga mendorongnya mengambil tindakan membunuh diri.

Keluarga si mati memaklumkan lelaki itu bertugas di sebuah firma tekstil dan baru pulang dari Kannur untuk bekerja ketika insiden rakaman itu berlaku.

Mereka turut mendakwa lelaki itu menafikan tuduhan berkenaan dan menunjukkan perubahan ketara dari segi emosi selepas mengetahui videonya tersebar luas di media sosial. -Agensi

Artikel Lain