suria

YouTuber popular enggan bertanggungjawab lepas rempuh teksi... Suruh GF duduk 'seat' pemandu, tipu beri keterangan

Memandu di bawah pengaruh alkohol boleh mengakibatkan kemalangan. -Gambar hiasan AI

SEORANG YouTuber terkenal berusia 32 tahun kini berada di bawah siasatan pihak polis selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya akibat memandu di bawah pengaruh alkohol. 

Dia juga didakwa bersikap lepas tangan dengan menukar tempat duduk bersama kekasihnya sejurus kejadian berlaku.

Memetik laporan berita Herald pada Khamis, insiden tersebut berlaku di daerah Yongsan-gu, Seoul di Korea Selatan kira-kira pukul 2.13 petang, 24 November lalu. 

Ketika itu, suspek yang didakwa memandu dalam keadaan mabuk telah merempuh sebuah teksi sehingga menyebabkan pemandu serta dua penumpangnya mengalami kecederaan parah.

Siasatan pihak polis di Balai Polis Gangnam mendedahkan bahawa suspek tidak mahu bertanggungjawab atas tindakannya dengan mendesak kekasihnya untuk duduk di kerusi pemandu. 

Dia juga didakwa meminta wanita berkenaan agar memberikan keterangan palsu dengan mengaku sebagai pemandu kenderaan tersebut ketika nahas berlaku.

Walaupun pada awalnya kekasih suspek menuruti kehendaknya, helah mereka terbongkar selepas pihak polis berjaya menemui bukti kukuh yang mengesahkan YouTuber berkenaan adalah pemandu sebenar. 

Malah, seorang lagi rakan suspek yang turut berada di dalam kereta tersebut, tidak terlepas daripada tindakan undang-undang.

Susulan itu, YouTuber terbabit berdepan tuduhan serius mencederakan orang awam akibat pemanduan berbahaya serta menghasut untuk menyembunyikan perbuatan jenayah. 

Dalam masa yang sama, kekasihnya turut disiasat atas dakwaan menyembunyikan suspek, manakala rakan mereka dituduh bersubahat dalam pemanduan di bawah pengaruh alkohol.

Pihak polis dilaporkan bakal melengkapkan siasatan dalam masa terdekat sebelum menyerahkan kes berprofil tinggi itu kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya. -Agensi

Artikel Lain