suria

Rumah terbakar, periuk nasi elektrik alami litar pintas... Warga emas hidap strok ditemukan maut atas katil

Mangsa disahkan meninggal dunia disebabkan kekurangan oksigen. -Foto Kompas

SEORANG lelaki warga emas maut dalam kebakaran akibat litar pintas yang berpunca daripada periuk nasi elektrik di dapur rumahnya.

Lebih malang apabila mangsa dikenali sebagai Syafi'i, 60, sedang terlantar sakit di atas katil kerana menghidap strok.

Insiden menyayat hati itu berlaku di Sampang, Indonesia.

Ketua Seksyen Kecemasan dan Logistik, Agensi Pengurusan Bencana Wilayah (BPBD) Daerah Sampang, Mohammad Hozin berkata, ketika kejadian dua anak saudara Syafi'i sudah pergi ke sekolah.

Selain itu adik ipar mangsa, Sariya, 42, juga sudah keluar bekerja di ladang yang tidak jauh dari kediaman mereka.

"Semasa kejadian, mangsa tinggal sendirian di rumah tersebut. Anggota keluarga telah keluar ke sekolah dan bekerja," ujarnya pada Khamis.

Tambah Mohammad Hozin, periuk nasi elektrik yang sering digunakan keluarga mangsa tiba-tiba mengalami litar pintas sehingga mengeluarkan percikan api.

Insiden yang berlaku itu menyebabkan bahagian dapur kediaman mereka terbakar.

"Mangsa yang terbaring di atas katil turut terkena tempias disebabkan kedudukannya yang berhampiran dapur.

"Kejadian hanya disedari anak saudaranya yang ketika itu baru pulang dari sekolah sekitar pukul 11.30 pagi," tambahnya.

Dalam pada itu, Mohammad Hozin menyatakan api dipadam dengan bantuan penduduk setempat, namun mangsa dilaporkan telah meninggal dunia.

Ketua Perhubungan Awam Polis Sampang, AKP Eko Puji menyatakan, pegawai pusat kesihatan tempatan mengesahkan mangsa meninggal dunia disebabkan kekurangan oksigen. -Agensi

Artikel Lain