suria

Isteri ditikam 26 tahun lalu, suami bayar sewa rumah tanpa huni demi jejak suspek… 2025 terbongkar pembunuh orang dikenali

Psangan Takaba bergambar kenangan sebelum tragedi pembunuhan pada 1999. -Foto QQ.com

SEORANG lelaki menyewa sebuah pangsapuri yang menjadi lokasi pembunuhan isterinya selama 26 tahun dengan harapan dapat menjejaki pembunuhnya. 

Isterinya ditemukan mati akibat ditikam berkali-kali di leher pada 13 November 1999 dengan anak mereka yang ketika itu berusia dua tahun selamat di sisi ibu. 

Dalam usaha mengekalkan tapak jenayah, lelaki tersebut iaitu, Soturo Takaba meninggalkan rumah itu kosong, tidak membersihkan kesan darah, dan mengekalkan semua barangan yang ada di rumah yang terletak di Nagoya, Jepun itu.

Jumlah sewa yang dibayar sepanjang tempoh itu mencecah 22 juta yen (RM607,200).

Dia yang tidak berkahwin tinggal di tempat lain bersama anaknya dan kerap mengedarkan risalah di jalanan, berhubung dengan media bagi membantu mendapatkan maklumat awam.

Pada 30 Oktober lalu, polis berjaya menahan Kumiko Yasufuku, 69, iaitu rakan sekelas isterinya, Namiko Takaba di sekolah menengah yang memendam perasaan terhadapnya. 

DNA yang diambil daripada tapak jenayah sepadan dengan Yasufuku, mengesahkan dia sebagai suspek. 

Yasufuku menyerah diri kepada polis selepas dua dekad mengelak daripada liputan berita mengenai perbuatannya.

“Sepanjang dua dekad ini, saya risau setiap hari. Saya tidak berani menonton laporan berita mengenai kes ini. Saya berasa cemas dan tertekan setiap 13 November.

"Saya tidak mahu ditangkap kerana tidak mahu menyusahkan keluarga saya. Tetapi apabila polis menghubungi saya pada bulan Ogos, saya sudah bersedia untuk ditangkap. Saya ingin memohon maaf kepada Namiko," kata Yasufuku kepada polis.

Takaba mengakui terkejut apabila mendengar nama suspek dan tidak pernah menjangka Yasufuku melakukan pembunuhan.

"Saya fikir pembunuh itu sudah meninggalkan Nagoya, tetapi rupa-rupanya dia sentiasa tinggal berhampiran rumah yang saya sewa,” katanya.

Yasufuku pernah menghantar coklat Hari Valentine dan surat yang menyatakan perasaannya kepada Takaba, tetapi ditolak. 

Mereka tidak berhubung selepas tamat sekolah dan hanya bertemu sekali setahun sebelum kejadian.-Agensi

Artikel Lain