SEORANG pelajar lelaki menerima pujian ramai selepas bertindak berani menyelamatkan sepasang warga emas dalam satu insiden kebakaran, walaupun ketika itu dia hanya memakai seluar dalam.
Zhu Ye, 18, pelajar senior di Sekolah Menengah No. 2 Tongliang, di perbandaran Chongqing, barat daya China berkata, pada petang 16 Oktober lalu, dia menyedari flat jirannya sedang terbakar.
Tanpa sempat mengenakan pakaian, Zhu bergegas keluar hanya dengan memakai seluar dalam dan menuju ke flat berkenaan.
Ketika itu, dia menemui pasangan warga emas itu yang panik dan terperangkap dalam kebakaran.
Menurut laporan, kebakaran berpunca daripada bateri kerusi roda elektrik milik lelaki warga emas berkenaan yang meletup ketika sedang dicas.
Dengan pantas, Zhu membantu memapah pasangan tersebut ke tempat selamat.
Dia kemudian mencabut kabel kuasa bateri serta mengeluarkan peralatan yang terbakar dari flat tersebut.
Tanpa berlengah, dia segera membawa baldi air dari rumahnya untuk memadamkan api sebelum menghubungi pengawal keselamatan kawasan kejiranan.
Zhu mengakui bahawa dia berasa takut ketika melihat api marak, namun mengenepikan perasaan tersebut kerana bimbang jika flat tersebut mempunyai penghuni.
Katanya, tindakannya itu dipengaruhi oleh pengetahuan keselamatan kecemasan yang dipelajari di sekolah.
Keberanian Zhu meraih pujian meluas di media sosial China. -Agensi


