suria

“Ayah guna bayar hutang ya” - Pelajar buat ramai menangis serah wang RM500 kepada bapa, influencer Boss A turut sumbang komputer riba

Pelajar ini sebak apabila memberikan wang yang diterima daripada Ivan Khong kepada ayahnya.

"AYAH guna untuk bayar semua hutang-hutang," demikian ucapan seorang remaja perempuan kepada ayahnya sambil diiringi tangisan pilu.

Lebih sebak, pelajar sekolah menengah yang memakai pakaian seragam Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) itu turut menghulurkan wang berjumlah RM500 kepada bapanya, sebelum kedua-duanya berpelukan sambil menangis.

Momen disiarkan menerusi TikTok @ivankhong_bossa_sce itu turut menjentik emosi netizen yang sebak mendengar luahan hati seorang anak kepada bapanya.

Ivan Khong menjual kira-kira 6,000 laptop dalam sebulan.

Ivan Khong menjual kira-kira 6,000 laptop dalam sebulan. 

Berdasarkan klip yang dikongsikan [Tonton Video], pelajar itu menerima wang tunai tersebut daripada pempengaruh Ivan Khong selain sebuah komputer riba.

Berkongsi mengenai video tersebut, Ivan berkata, apa dikongsikan itu bukan sekadar 'content' demi mengumpul pengikut sebaliknya bertujuan membantu golongan kurang bernasib baik.

Ivan, 30, yang lebih dikenali sebagai Boss A berkata, dia sendiri berasal dari keluarga B40 dan pernah mengalami kesukaran kerana tidak mampu membeli komputer riba untuk kegunaan di sekolah.

"Saya bukan nak menjual atau menyumbang sahaja tetapi mahu beri harapan untuk orang di luar sana agar bangkit dan teruskan perjalanan hidup walaupun sukar.

  • Pelajar perempuan beri RM500 pada ayah untuk bayar hutang, kedua-duanya menangis.
  • Momen sebak di TikTok tarik perhatian netizen.
  • Remaja turut terima laptop sumbangan pempengaruh Ivan Khong.
  • Ivan bantu pelajar B40, pernah susah tak mampu beli laptop.
  • Sudah sumbang lebih 1,000 laptop, mahu bantu pelajar terus belajar.

"Menjadi impian saya untuk bantu lebih ramai orang dan mahu melihat tiada lagi pelajar di negara ini ketinggalan (dalam pelajaran) hanya kerana tiada komputer riba," ujarnya yang merupakan usahawan komputer terpakai.

Pernah menjana pendapatan mencecah RM1 juta pada usia 24 tahun, imbau Ivan, dia pernah berasa cemburu melihat rakan-rakannya memiliki komputer riba dan dapat bermain permainan video.

"Keluarga saya tak mampu kerana ayah pemandu lori dan emak pula bekerja sebagai tukang jahit.

"Jadi setiap kali hujung minggu, saya akan ke rumah kawan untuk tumpang bermain permainan video.

ARTIKEL BERKAITAN: Seumur hidup tak pernah pergi kedai mainan, kembar Siam teruja ikut ‘influencer’ beli-belah - “Mereka tidak diberi bantuan”

ARTIKEL BERKAITAN: The real influencer! TikToker beri semua ‘gift’ dapat di ‘live’ TikTok, derma separuh gaji demi bantu bayi tanpa lelangit jalani pembedahan

"Kini saya bergelar usahawan dan apabila berjumpa murid dan pelajar B40, terus teringat kenangan masa kecil dulu.

"Tersentuh juga apabila tengok riak wajah mereka yang sebak terima komputer riba," luahnya kepada mStar.

Tambah Ivan, sejak dua tahun lalu, dia telah menyumbang lebih 1,000 komputer riba kepada murid dan pelajar sekolah sama ada secara terus mahupun menerusi pihak sekolah.

Berpengalaman sebagai juruteknik dan jurujual komputer, jelasnya sumbangan berkenaan disampaikan menerusi  inisiatif 'e-Dream Come True' dengan harapan anak-anak daripada keluarga B40 dapat memiliki komputer riba berkualiti.

Ivan Khong memenangi hadiah Top Creator daripada TikTok.

Ivan Khong memenangi hadiah Top Creator daripada TikTok.

"Apa saya lakukan ini juga seiring dengan inisiatif 'Go Green World' yang diketengahkan syarikat iaitu menjual komputer riba terpakai.

"Ia dapat menyelamatkan bumi dengan mengurangkan kira-kira 10 hingga 20 peratus sisa elektronik (e-waste)," ujarnya sambil menyatakan banyak cabaran yang ditempuhi sepanjang hampir sedekad menceburi bidang perniagaan.

Tambahan pula dia memulakan perniagaan menerusi platform urus niaga dalam talian dengan bermodalkan duit pinjaman kad kredit.

Sehingga kini dia berjaya menjual kira-kira 6,000 unit komputer riba dalam sebulan.

Artikel Lain