suria

Ketua kampung nak tutup kes, paksa mangsa rogol nikahi pelaku! Akhirnya terbongkar ada kaitan persaudaraan

Mangsa rogol cenderung mengalami trauma. -Gambar hiasan

SEORANG ketua kampung ditahan polis selepas dipercayai memaksa seorang gadis berusia 21 tahun berkahwin dengan perogolnya.

Berdasarkan laporan, suspek dipercayai bertindak demikian bagi melindungi perogol terbabit yang juga anak saudaranya.

Pada masa sama dia cuba menghalang mangsa yang merupakan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) daripada membuat laporan polis.

Kejadian dilaporkan berlaku di Jawa Timur, Indonesia pada 14 Oktober lalu.

Menurut Inspektor Daerah Jember, Ratno C Sembodo, suspek disoal siasat pada 22 Oktober lalu selepas menerima laporan melalui saluran aduan awam.

"Pegawai awam sepatutnya mempunyai tanggungjawab moral dan pentadbiran untuk berpihak kepada mangsa bukannya pelaku," tegasnya.

Susulan itu, suspek dan ketua kejiranan kawasan berkenaan didapati bersalah atas kecuaian dalam mengadili kes tersebut.

Tindakan susulan terhadap mereka diserahkan kepada Datuk Bandar Jember.

Dalam pada itu, polis mengesahkan penahanan ke atas lelaki berusia 27 tahun yang dipercayai merogol pelajar IPT berkenaan selepas melarikan diri selama 10 hari. -Agensi

Artikel Lain