SEBUAH pesawat persendirian hilang kawalan sebelum terhempas di kawasan semak ketika cuba berlepas dari landasan pada Khamis.
Kejadian berlaku di landasan Farrukhabad, Uttar Pradesh di India.
Bagaimanapun, kedua-dua juruterbang dan tiga lagi penumpang yang dijadualkan ke Bhopal berjaya menyelamatkan diri.
Berdasarkan rakaman video tular, pesawat persendirian itu mengalami kerosakan kecil dengan keadaan bahagian hadapannya terjunam ke arah tanah.
Menurut laporan, kejadian berlaku sekitar pukul 11.15 pagi ketika pesawat yang dikendalikan juruterbang Jetserve Aviation mula berlepas.
Namun ketika berada kira-kira 400 meter dari landasan, pesawat tiba-tiba hilang kawalan.
Pegawai mengesahkan bahawa ia adalah pesawat enjin berkembar (konfigurasi 2+6).
Berikutan kejadian itu, polis dan pegawai pentadbiran termasuk pasukan bomba dihantar untuk mengendalikan situasi dan melakukan siasatan lanjut.
Hasil siasatan awal mendapati bahawa tekanan udara rendah pada salah satu tayar pesawat mungkin menyebabkan ia terkeluar dari landasan. -Agensi


