suria

Kanak-kanak disengat obor-obor, percaya dengan animasi SpongeBob

Kanak-kanak terpedaya dengan kartun yang ditayangkan di televisyen. -Foto detikcom

SERAMAI 22 individu dilaporkan disengat obor-obor gara-gara cuba menangkap haiwan laut itu.

Insiden berlaku sejak bermulanya cuti persekolahan, dengan kebanyakan mangsa terdiri daripada kanak-kanak.

Kejadian dilaporkan berlaku di pesisir Pantai Parangtritis, Daerah Istimewa Yogyakarta (DIY), Indonesia.

Fenomena kemunculan obor-obor di perairan selatan Indonesia, khususnya di kawasan Gunungkidul dan Parangtritis, biasanya berlaku sepanjang Julai hingga September setiap tahun.

Watak SpongeBob sedang bermain dengan obor-obor. -Foto SpongeBob Watak SpongeBob sedang bermain dengan obor-obor. -Foto SpongeBob 

Menurut Ketua Agensi Pengurusan Bencana Serantau DIY, Noviar Rahmad, antara faktor yang menyebabkan ramai terpedaya adalah pengaruh kartun animasi popular SpongeBob SquarePants yang menggambarkan obor-obor sebagai makhluk comel dan boleh ditangkap.

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan sentuh! Nampak cantik tapi sebenarnya obor-obor beracun

“Segelintir orang menganggap obor-obor boleh ditangkap seperti dalam kartun SpongeBob. Sedangkan, obor-obor yang mempunyai sesungut boleh melekat pada tubuh dan menyengat sehingga menyebabkan kesan serius.

"Jika disengat di dada, kesannya boleh merebak hingga ke jantung,” katanya.

Obor-obor yang muncul di perairan itu datang dalam pelbagai bentuk dan warna, termasuk sesungut berwarna biru atau merah yang berbahaya.

Mangsa yang disengat telah menerima rawatan awal di pos keselamatan Pantai Satlinmas dengan bantuan anggota penyelamat tempatan.

“Jika disengat, luka perlu dikikis serta-merta dan disapu cuka atau alkohol untuk mengurangkan kesan racun,” tambah Noviar.

Orang ramai diingatkan untuk tidak menyentuh atau mendekati obor-obor yang terdampar di pantai walaupun kelihatan menarik, kerana ia masih boleh menyengat dan mendatangkan bahaya. – Agensi

Artikel Lain