INSIDEN seorang mahasiswi yang menggunakan lintasan pejalan kaki sebelum dirempuh sebuah bas tular selepas rakaman kamera pengawasan jalan dikongsi di media sosial.
Berdasarkan rakaman video berdurasi 12 saat itu [Tonton Video], gadis tersebut dilihat sedang melintas di hadapan kumpulan kenderaan yang sedang berhenti sebelum dirempuh.
Impak perlanggaran itu menyebabkan mahasiswi terbabit tercampak beberapa meter dari lokasi dia dirempuh.
Dia bagaimanapun dilaporkan terselamat dan sedang menjalani rawatan di hospital.
Kejadian itu dilaporkan berlaku di Jalan Sukhothai di Bangkok, Thailand pada 26 Jun lalu.
Video itu dikongsi di Facebook pada Rabu dan menarik perhatian meluas dalam kalangan warga maya.
Rata-rata netizen melahirkan kebimbangan terhadap keselamatan pelajar dan menuduh pemandu bas itu memandu secara melulu.
Seorang pengguna Facebook yang mendakwa sebagai mangsa kejadian memaklumkan dia terselamat dan kini sedang menerima rawatan di hospital. -Agensi


