suria

Tragis... Nahas Air India korbankan kesemua 242 penumpang dan anak kapal

Suasana di sekitar lokasi di mana pesawat Air India terhempas.

TIADA mangsa dilaporkan terselamat dalam nahas pesawat Air India yang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Sardar Vallabhbhai Patel di Ahmedabad, Gujarat, India, pada Khamis.

Pesuruhjaya Polis Ahmedabad, GS Malik, memaklumkan kepada The Associated Press bahawa kesemua penumpang dipercayai maut dalam kejadian itu.

Beliau turut menyatakan bahawa terdapat kemungkinan kematian dalam kalangan penduduk tempatan, memandangkan pesawat tersebut terhempas di bangunan kediaman.

ARTIKEL BERKAITAN: Nahas Air India: Pesawat sempat buat panggilan ‘Mayday’, menteri sahkan ‘ramai terbunuh’

"Angka sebenar mangsa masih dalam proses pengesahan," katanya.

Menurut laporan awal daripada polis tempatan kepada Reuters, lebih 100 mayat telah dihantar ke hospital di Ahmedabad.

Pesawat jenis Boeing 787-8 Dreamliner milik Air India itu yang dalam perjalanan ke London, terhempas sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sardar Vallabhbhai Patel.

Menurut pusat kawalan trafik udara di lapangan terbang, pesawat itu berlepas pada 1.39 tengah hari Khamis (waktu tempatan) dari landasan 23. 

Pesawat berkenaan membawa 242 orang termasuk 230 penumpang dan 12 anak kapal.

Daripada jumlah itu, 169 adalah warga India, Britain (53), Portugal (7), dan Kanada (1).

 

Artikel Lain