BERANG kerana remaja perempuan mengadu kepada isterinya mendakwa menjadi mangsa cabul, seorang konstabel polis bertindak membelasah gadis berkenaan dan menolaknya dari bumbung sebuah bangunan dua tingkat.
Akibatnya, mangsa yang berusia 16 tahun itu mengalami kecederaan tulang belakang serta patah kaki dan kini dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Menurut polis, mangsa tinggal di kawasan Lalpur di Lucknow bersama keluarganya, manakala suspek serta isterinya menghuni unit bertentangan di bangunan yang sama.
"Konstabel itu sudah lama mengintai saya. Dia menghalang jalan saya berkali-kali, memegang tangan saya dan berkata lucah," kata mangsa sebagaimana menurut polis.
Tidak tahan dengan gangguan demi gangguan, mangsa akhirnya nekad bersemuka dengan isteri suspek.
Pasangan tersebut bergaduh dan isteri suspek menuntut bukti daripada mangsa.
Tidak semena-mena suspek kemudian cuba bertindak menolak mangsa dari bumbung dan dibantu isterinya.
Kes kini dalam siasatan pihak berkuasa. -Agensi