suria

Kejutan hari lahir bertukar duka… Isteri teruja bawa kek ke bilik, rupanya suami meninggal dunia dalam tidur

Video kejutan hari lahir yang bertukar menjadi detik duka ini meraih 2.5 juta jumlah tontonan di TikTok.

SIAPA sangka, kejutan hari lahir untuk suami tersayang rupanya bertukar menjadi detik duka yang tidak akan dilupakan oleh wanita ini.

Menerusi satu video yang tular di TikTok, wanita berkenaan dilihat membawa sebiji kek yang dinyalakan lilin menuju ke bilik bersama anak-anaknya untuk melakukan kejutan sempena hari lahir suaminya.

Ketika tiba di bilik, wanita berkenaan cuba mengejutkan suaminya yang sedang tidur lena di atas katil.

Bagaimanapun, cubaannya gagal apabila lelaki tersebut tidak memberi respon dan hanya kaku biarpun tubuh badannya digerakkan berkali-kali.

"Di hari ulang tahun, adikku mahu beri kejutan kek padahal suaminya sudah dijemput Tuhan. 

"Hari lahir dan hari meninggal dunia jatuh tarikh sama, enam haribulan enam (6 Jun).

"Orang baik… tidak mahu susahkan isterinya dan anak-anak. Selamat jalan iparku," demikian penerangan pada kapsyen video yang dipercayai dirakam dan dimuat naik oleh kakak kepada wanita berkenaan.  

Menerusi keterangan pada kapsyen, mendiang merupakan pemimpin tempatan di daerah Papua Barat.

Sehingga kini video berkenaan meraih 2.5 juta jumlah tontonan selain dibanjiri dengan komen netizen yang turut sama meluahkan rasa sebak.

"Pasti trauma yang amat ni.

"Sedihnya… semoga keluarga diberikan ketabahan dan kesabaran. 

"Ya Tuhan… moga kuatkan isteri dan anak-anaknya," komen netizen. 

 

Artikel Lain