SEORANG pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi maut dengan empat kesan tikaman di leher.
Wanita berusia 23 tahun itu ditemukan meninggal dunia oleh rakan-rakannya yang hadir ke rumah mangsa selepas terkejut tindakannya yang tiba-tiba mendiamkan diri semasa perbualan secara 'live'.
Kejadian dilaporkan berlaku di Daerah Rejang Lebong, Bengkulu di Indonesia.
Rakan mangsa yang dikenali sebagai Alwin berkata, semasa perbualan berlangsung, mangsa ada menyebut 'kenapa kamu datang?' sebelum suasana menjadi sunyi.
Bimbang dan hairan dengan situasi berkenaan, dia dan beberapa rakan lain terus ke rumah mangsa.
Setibanya di lokasi, mereka terkejut apabila melihat mangsa dalam keadaan berlumuran darah.
Sementara itu, Ketua Perhubungan Awam Polis Rejang Lebong, AKP Sinar Simanjuntak berkata, pihaknya sedang melakukan pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian.
"Mangsa dipercayai mengenali pelaku kerana dia dengan mudah masuk ke rumah dan melakukan pembunuhan.
"Laptop milik mangsa hilang, terdapat empat kesan tikaman pada leher mangsa dan satu di perut," tambahnya sambil menyatakan motif pembunuhan masih belum diketahui. -Agensi