PENAMPILAN dan pangkat bukanlah menjadi kayu ukur keperibadian seseorang.
Seorang imam masjid berusia 53 tahun didakwa atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap remaja lelaki bawah umur.
Perbuatan terkutuk lelaki itu dikatakan mula 'kantoi' pada hujung Mei lalu ekoran mangsa tampil membuat aduan kepada orang tuanya.
Kejadian dilaporkan berlaku di Garut, Jawa Barat, Indonesia.
Dilaporkan 13 orang menjadi mangsa nafsu serakah imam berkenaan setakat ini, dengan rata-rata daripadanya berusia antara 10 hingga 15 tahun.
Lebih mengejutkan, ada antara mereka bahkan pernah diliwat beberapa kali sejak tahun lalu.
ARTIKEL BERKAITAN: Artis popular ditahan polis, didakwa cabul remaja bawah umur di hotel
"Suspek 'mengumpan' mangsa dengan wang agar mereka bersetuju," dedah Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Garut AKP Joko Prihatin.
Sewaktu disoal siasat, suspek mengeluarkan kenyataan yang sama sekali mengejutkan pihak polis apabila mengaku dirinya pernah menjadi mangsa liwat sewaktu masih kecil.
Sehubungan itu, pihaknya bekerjasama dengan Unit Pelaksanaan Teknikal Wilayah (UPTD) Perlindungan Wanita dan Kanak-kanak (PPA) bagi memberi sokongan moral terhadap semua mangsa yang terlibat, tambah Joko.
Suspek yang diberkas di kediamannya bakal didakwa di bawah Akta Perlindungan Kanak-kanak yang mana memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan. -Agensi