suria

Lelaki tembak mati isteri, tinggalkan mayat mangsa dalam kenderaan tanpa matikan enjin hampir 10 jam

Mangsa ditemukan pada tempat duduk pemandu dengan kesan tembakan pada leher. -Foto Matichon

SEORANG lelaki tergamak menembak mati isterinya sendiri sebelum meninggalkan mayat wanita itu di dalam kenderaan.

Pada awalnya, seorang jiran berasa curiga apabila mendapati enjin kenderaan suspek yang tidak dimatikan sejak pagi, yang akhirnya membawa kepada penemuan mayat isterinya.

Mangsa yang dikenali sebagai Nanticha, 36, ditemukan di tempat duduk pemandu kenderaan jenis SUV dengan kesan tembakan pada bahagian leher.

Insiden dipercayai berlaku di Soi Phetchakasem 67, Bangkok, Thailand pada Isnin malam.

ARTIKEL BERKAITAN: Suami kelar isteri hingga maut tiba-tiba bertakbir, laung kalimah syahadah ketika direman di mahkamah

Suspek yang bekerja sebagai jurujual dikatakan bertengkar dengan isterinya sebelum menembak mangsa.

"Pasangan itu dipercayai bertengkar sebelum suspek menembak mangsa. Enjin kereta pula dibiarkan hidup bagi mengekang bau darah yang tidak menyenangkan," ujar pihak polis.

Bagaimanapun, motif pembunuhan masih lagi belum didedahkan.

Suspek ditahan pihak polis di kediamannya. -Foto Matichon

Polis berjaya memberkas suspek selepas membuat serbuan di bilik yang terletak di unit bersebelahan yang bersambung dengan kediamannya.

Untuk rekod, pasangan terbabit dikurniakan tiga orang anak masing-masing berusia enam tahun, empat tahun serta bayi yang baru berusia satu bulan.

Seorang daripadanya autistik dan dilaporkan tinggal bersama, sementara dua yang lain di bawah jagaan saudara-mara. -Agensi

Artikel Lain