TULAR di media sosial video mengenai penduduk yang dikenakan bayaran bagi setiap bungkusan daging korban walaupun sudah menerima kupon pengambilan.
Dalam video yang dimuat naik di media sosial, beberapa wanita mengaku membayar Rp15,000 (RM4) bagi setiap bungkusan daging.
Perkara itu mencetuskan kemarahan ramai kerana pengagihan daging korban sepatutnya dilakukan secara percuma kepada penerima yang layak.
Kejadian itu berlaku di sebuah perkampungan berlokasi di Bekasi, Indonesia.
Menjawab isu itu, salah seorang ahli jawatankuasa korban dikenali sebagai Tarmin menjelaskan lembu korban diperoleh hasil sumbangan penderma yang tidak menyediakan kos tambahan.
Maka, jawatankuasa itu bersetuju mengenakan caj minimum sebagai kos operasi dan tenaga kerja.
Tambahnya, bukan semua penerima dikenakan bayaran tetapi sebahagian yang bersetuju membantu menampung kos sahaja.
Namun, selepas isu berkenaan mendapat perhatian, Tarmin tampil memohon maaf kepada semua pihak termasuk penduduk, pemimpin komuniti dan pihak berkuasa tempatan atas kekeliruan yang timbul.
Tarmin mengakui tindakan tersebut tidak sepatutnya berlaku.
Sementara itu, Ketua Polis Bantargebang, Sukadi memaklumkan bahawa kes berkenaan telah diselesaikan secara baik. -Agensi