INSIDEN tragis membabitkan pesawat milik Air India pada petang Khamis ternyata mengejutkan ramai pihak, apabila pada awalnya dilaporkan tiada mangsa yang terselamat.
Namun, beberapa jam selepas kenyataan awal itu dikeluarkan, pihak polis Ahmedabad mengesahkan bahawa seorang penumpang telah ditemui hidup.
Mangsa yang terselamat itu merupakan penumpang di tempat duduk 11A.
Dia dilihat berjalan dalam keadaan lemah, dengan kemeja-T putih dan seluar gelap yang hampir hangus terbakar.
ARTIKEL BERKAITAN: Tragis... Nahas Air India korbankan kesemua 242 penumpang dan anak kapal
"Polis menemui seorang mangsa terselamat di tempat duduk 11A. Mangsa itu kini sedang dirawat di hospital," kata Pesuruhjaya Polis Ahmedabad, GS Malik.
"Kami belum dapat mengesahkan jumlah kematian setakat ini. Angka korban mungkin meningkat kerana pesawat tersebut terhempas di kawasan perumahan," ujarnya lagi.
Media terdahulu yang memetik kenyataan polis melaporkan, tiada mangsa terselamat dalam nahas pesawat Air India yang terhempas sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sardar Vallabhbhai Patel.
Pesawat jenis Boeing 787-8 Dreamliner itu yang dalam perjalanan ke London membawa 242 orang termasuk 230 penumpang dan 12 anak kapal.
Daripada jumlah itu, 169 adalah warga India, Britain (53), Portugal (7), dan Kanada (1).