"KIRA-KIRA 30 saat selepas berlepas, terdapat bunyi yang sangat kuat dan kemudian pesawat terhempas. Semuanya berlaku dengan begitu pantas!" demikian menurut penumpang pesawat Air India, Ramesh Vishwashkumar.
Ramesh merupakan satu-satunya penumpang Air India AI171 yang terselamat selepas pesawat yang membawa 242 orang termasuk anak kapal itu terhempas sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sardar Vallabhbhai Patel Ahmedabad, petang Khamis.
Lelaki itu duduk di kerusi 11A yang terletak berhampiran pintu keluar kecemasan dan berjaya melompat keluar, kata polis.
ARTIKEL BERKAITAN: Ajaib! Penumpang tempat duduk 11A terselamat dalam nahas Air India
"Apabila saya bangun, ada mayat di sekeliling saya. Saya takut. Saya berdiri dan berlari.
"Terdapat serpihan pesawat di sekeliling saya. Ada seseorang memapah saya ke ambulans dan membawa saya ke hospital," kata Ramesh.
Dia yang kini dirawat di Hospital Awam, Asarwa di Ahmedabad mengalami kecederaan di dada, mata dan kaki.
Lelaki berusia 40 tahun itu memberitahu media bahawa dia adalah warga Britain dan sedang dalam perjalanan pulang ke sana bersama abangnya, Ajay Kumar Ramesh selepas melawat keluarga mereka di India.
Status Ajay walau bagaimanapun masih tidak diketahui hingga kini.
Terdahulu, pihak polis Ahmedabad mengesahkan bahawa seorang penumpang pesawat malang berkenaan masih hidup.
Mangsa yang terselamat itu merupakan penumpang di tempat duduk 11A.
Menerusi satu video yang tular, mangsa dilihat berjalan dalam keadaan lemah dan mengalami luka selain pakaiannya terkoyak serta mempunyai kesan hangus.
Dalam kejadian pada petang Khamis, pesawat jenis Boeing 787-8 Dreamliner milik Air India yang dalam perjalanan ke London, terhempas sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sardar Vallabhbhai Patel Ahmedabad.
Pesawat berkenaan membawa 242 orang termasuk 230 penumpang dan 12 anak kapal.
Daripada 230 penumpang, 169 adalah warga India, Britain (53), Portugal (7) dan Kanada (1). -Agensi


