MESKIPUN jumlah rasmi mangsa yang maut dalam nahas pesawat milik Air India belum diketahui, namun 'ramai yang dikhuatiri terbunuh', demikian menurut menteri kesihatan negara berkenaan.
Sementara itu seorang pegawai kanan polis mengesahkan pesawat berkenaan terhempas di bangunan asrama yang menempatkan doktor.
ARTIKEL BERKAITAN: Pesawat Air India bawa 242 penumpang ke London terhempas
"Bangunan di mana ia telah terhempas adalah asrama doktor... kami telah membersihkan hampir 70 peratus hingga 80 peratus daripada kawasan itu dan akan membersihkan selebihnya tidak lama lagi," katanya.
Media terdahulu melaporkan pesawat jenis Boeing 787-8 Dreamliner milik Air India yang dalam perjalanan ke London, telah terhempas sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sardar Vallabhbhai Patel di Ahmedabad, Gujarat, India.
Menurut pusat kawalan trafik udara di lapangan terbang, pesawat itu berlepas pada 1.39 tengah hari Khamis (waktu tempatan) dari landasan 23.
Ia sempat membuat panggilan 'Mayday' menandakan kecemasan, tetapi selepas itu tiada maklum balas daripada pesawat.
Flightradar24 juga berkata bahawa ia menerima isyarat terakhir daripada pesawat itu beberapa saat selepas ia berlepas.
Pesawat berkenaan membawa 242 orang termasuk 230 penumpang dan 12 anak kapal.
Daripada jumlah itu, 169 adalah warga India, Britain (53), Portugal (7), dan Kanada (1).