SEORANG ustaz menghembuskan nafas terakhir sejurus selesai melakukan penyembelihan seekor lembu korban.
Detik-detik sebelum kematian ustaz yang dikenali sebagai Ustaz Idham Khalid telah dirakam serta tular di media sosial.
Menerusi video yang tular, kelihatan Allahyarham yang merupakan penduduk Daerah Bojonggede, Bogor, Jawa Barat, ditemani dua orang lagi memegang lembu yang sudah terbaring di atas tanah.
Semasa tarikan ketiga parang dan setelah lembu berjaya disembelih, beliau tiba-tiba terhuyung-hayang sebelum rebah dan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Ketika menyembelih, ayah saya menarik parang buat kali ketiga. Selepas sembelihan selesai, ayah saya lemah dan akhirnya terjatuh, seperti dalam video," ujar anak arwah, Ilham Aulia.
Menurut Ilham lagi, sebelum kejadian, bapanya tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda sakit, malah segalanya berjalan lancar bermula dari solat sunat Aidiladha sehinggalah ke proses penyembelihan haiwan korban.
Penduduk yang berada di lokasi kejadian segera membawa Allahyarham ke hospital berhampiran, namun beliau disahkan telah meninggal dunia.
Tambah Ilham lagi, beberapa hari sebelum kejadian, bapanya dikatakan telah menunjukkan tanda seakan-akan tahu ajalnya bakal tiba.
Ujar Ilham, bapanya menyerahkan satu set peralatan penyembelihan kepadanya dengan harapan agar profesion mulia yang diceburinya itu dapat diteruskan. -Agensi