SUASANA Hari Raya Aidiladha bertukar kecoh apabila seekor lembu untuk disembelih sempena ibadah korban bertindak agresif dan menyerang sekumpulan kanak-kanak.
Menerusi rakaman daripada kamera litar tertutup (CCTV), lembu berkenaan secara tiba-tiba meluru ke arah sekumpulan kanak-kanak yang sedang menyaksikan persiapan penyembelihan di kawasan lorong sempit.
Menurut salah seorang ahli jawatankuasa korban, Febri Gunawan, haiwan ternakan berkenaan pada awalnya cuba diikat pada sebatang tiang, namun menjadi tidak terkawal selepas melihat orang ramai.
Dalam kejadian yang berlaku pada pagi Jumaat di Bandung, Indonesia itu, beberapa kanak-kanak terjatuh dan dipijak haiwan tersebut mengakibatkan mereka mengalami kecederaan.
Lembu itu dikatakan melarikan diri sejauh 100 meter sebelum ia berjaya ditangkap semula di halaman sebuah rumah setelah pintu pagar ditutup.
Akibat kejadian itu, empat kanak-kanak dan seorang dewasa mengalami kecederaan.
Seorang daripada mangsa-mangsa tersebut dilaporkan patah tangan dan terpaksa dikejarkan ke Jabatan Kecemasan Hospital Immanuel, Bandung.
Difahamkan juga, sebuah kenderaan turut mengalami kerosakan dalam insiden berkenaan.
Sementara itu, Pengerusi Masjid Al Hidayah, Armin Abdul Jabbar tampil memohon maaf kepada mangsa dan keluarga yang terlibat. -Agensi