POLIS kini sedang menjalankan siasatan susulan seekor anjing liar dilaporkan menggonggong mayat seorang bayi yang baru lahir berhampiran tandas sebuah hospital kerajaan.
Kejadian berlaku di Hospital Awam Mhow, kira-kira 25 kilometer dari daerah Indore pada awal pagi Sabtu, sebelum seorang pengawal keselamatan berjaya menghalau haiwan itu dan mengambil semula mayat berkenaan.
Menurut pengurusan hospital, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang gadis muda dilihat masuk ke dalam tandas hospital dalam tempoh antara pukul 1.30 pagi hingga 2.00 pagi, disyaki mempunyai kaitan dalam kes berkenaan.
"Hasil semakan kami dengan kakitangan mendapati gadis berusia 17 tahun itu telah datang ke hospital mengadu sakit perut dan dimasukkan pada jam 9 malam, Jumaat. Kami mengesyaki bahawa dia telah melahirkan bayi di dalam tandas," katanya.
Ia menambah bahawa gadis tersebut kemudiannya dilaporkan menghilangkan diri dari hospital bersama seorang lelaki yang tidak dikenali.
"Bedah siasat telah dijalankan pada pagi Sabtu dan kami menunggu hasil laporan. Laporan awal menunjukkan bahawa kelahiran itu berlaku secara pramatang.
"Mayat bayi tersebut kini ditempatkan di bilik mayat. Polis telah memulakan siasatan dan kami akan menyerahkan semua rakaman CCTV bagi membantu siasatan," tambahnya. -Agensi