BARU sahaja membunuh seekor ular sepanjang 45 sentimeter, seorang petani terkejut apabila terdapat puluhan reptilia lagi secara tiba-tiba menyusur keluar dari satu lubang di hadapan rumahnya.
Kejadian yang berlaku pada 1 jun itu membuatkan Mahfooz Saifi panik dan mendapatkan bantuan penduduk kampungnya di Uttar Pradesh, India.
Meskipun pelik dengan insiden yang berlaku, namun penduduk mengambil jalan pantas dengan membunuh kesemua ular berkenaan.
Difahamkan sebanyak 52 ekor ular dibunuh dan ditanam dalam sebuah lubang.
Insiden yang direkodkan itu menjadi tular selepas dimuat naik ke akaun media sosial.
Susulan itu, Jabatan Hutan India segera menghantar pegawai mereka bagi mendapatkan maklumat dan menyiasat insiden yang berlaku.
Dalam pada itu, pakar reptilia Aditya Tiwari yang juga presiden Persatuan Pemuliharaan, mengesahkan bahawa ular itu adalah Keelback Checkered, yang disenaraikan sebagai spesies dilindungi di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar India. -Agensi