SEORANG kanak-kanak lelaki bertindak kejam dengan menghumban sepupunya yang baru berusia setahun ke dalam loji kumbahan hanya kerana perasaan benci terhadap mangsa.
Menurut nenek mangsa, Musarrat Bibi, cucu perempuannya, Maryam keluar bermain bersama beberapa kanak-kanak lain di lorong berhampiran kawasan kejiranan mereka.
Kejadian berlaku di Lahore, India.
Namun selepas beberapa ketika, Maryam hilang dari pandangan tanpa disedari oleh sesiapa yang berada di situ.
Kehilangan itu menimbulkan kebimbangan ibu bapa mangsa yang menyangka anak mereka diculik individu tidak dikenali.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperoleh dari kawasan berdekatan mendedahkan seorang kanak-kanak lelaki 'memancing' perhatian mangsa ke arah loji kumbahan.
Kanak-kanak berusia 10 tahun itu kemudiannya mencampak mangsa ke dalamnya.
Suspek yang dikenali sebagai Azan Akhtar kemudiannya ditahan di Balai Polis Ratta Amral bagi membantu siasatan.
Dalam sesi soal siasat, dia mengaku bertindak demikian kerana tidak menyukai mangsa.
Selepas penahanannya, kanak-kanak lelaki itu diserahkan kepada Biro Perlindungan Kanak-Kanak untuk tindakan lanjut berhubung kes tersebut. -Agensi